Oleh: Shafiq Noordin

IPOH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak mengesahkan telah menerima laporan mengenai satu kes baharu lelaki digigit anjing di Kuala Sepetang, Taiping pada Jumaat lalu.

Pengarahnya, Dr Fuziah Muhayat berkata, walau bagaimanapun tiada tanda-tanda klinikal penyakit anjing gila atau Rabies yang dikesan pada anjing tersebut setakat ini.

“Anjing tersebut diberi makan setiap hari oleh mangsa. Anjing ini dikuarantin selama 14 hari bermula Jumaat lalu namun tiada sampel yang diambil dari anjing tersebut.

“Setakat ini, tiada tanda klinikal yang dilihat pada anjing itu. Walau bagaimanapun, ia masih dalam pemerhatian. Manakala, mangsa yang digigit pula sudah dapat rawatan,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPV, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, setakat ini sebanyak 366 ekor haiwan peliharaan terdiri daripada 127 ekor anjing dan 239 kucing diberi suntikan vaksin oleh JPV Perak di kawasan itu bagi mencegah penyakit itu.

Menurut beliau, JPV Perak juga melupuskan 78 ekor anjing terbiar dalam tempoh sama selain mengambil sampel daripada haiwan itu untuk dianalisis di Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh.

Katanya, jumlah keseluruhan 12 sampel kepala anjing telah diambil dan dihantar ke VRI Ipoh untuk pengesanan penyakit Rabies.

“Operasi bancian dan survelan pula dijalankan dalam lingkungan 10 kilometer radius dari lokasi kes jangkitan Rabies dengan keseluruhan populasi haiwan sebanyak 1611 ekor iaitu 431 ekor anjing dan 1,180 ekor kucing dengan jumlah pemilik seramai 554 orang.

“Pihak JPV Perak mengadakan operasi kempen kesedaran mengenai wabak Rabies dan kawalan dibuat dari rumah ke rumah membabitkan 2,492 pemilik haiwan di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Pada 16 Julai lepas, JPV Perak mengesahkan seekor anjing peliharaan yang positif Rabies telah mati, sembilan hari selepas menggigit dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang.

Ekoran itu, Kerajaan Negeri Perak telah mewartakan kawasan Mukim Matang, Daerah Larut, Matang dan Selama sebagai kawasan jangkitan penyakit Rabies dan mewujudkan sebuah jawatankuasa bertindak khas berkaitan penyakit itu.