PORT DICKSON: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan kes seorang anggota tentera yang dituduh membunuh anak perempuannya, Nur Aina Nabihah, 9, pada Januari lalu, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Seremban untuk dibicarakan.

Majistret Siti Khairiah Abdul Razak membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, A Ashwini, membuat permohonan berkenaan, namun tiada sebarang tarikh ditetapkan.

Tertuduh, Mohammad Abdullah Mohamed, 35, yang memakai pakaian lokap berwarna jingga kelihatan tenang dan menganggukkan kepala apabila mendengar keputusan Siti Khairiah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Jalan Vista Jaya 5, Taman Vista Jaya, Lukut, di sini, antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam, 31 Januari lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kanak-kanak perempuan itu maut dipercayai akibat didera bapa kandungnya dan bedah siasat mendapati dia mengalami kecederaan parah termasuk buah pinggang rosak, usus terkoyak dan patah tulang rusuk.

Laporan media sebelum ini juga menyebut, siasatan forensik di rumah mereka turut membawa kepada penemuan kerusi plastik dan tali pinggang yang dipercayai digunakan tertuduh untuk mendera mangsa.

Siasatan juga mendapati Nur Aina dipercayai diseksa seperti rekrut komando dengan dipaksa melakukan tekan tubi, sit up dan ketuk ketampi selain dipukul, ditendang dan dipijak oleh bapa kandungnya itu – berita harian