KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita Nigeria bagi membantu siasatan kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, yang mayatnya ditemui dengan kesan kecederaan di leher dan dada, semalam.

Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang wanita warga Nigeria di Taman Damai Indah, Cheras, pada jam 3 pagi tadi, sebelum menahan seorang lagi lelaki warga Pakistan di Taman Sri Rampai, Setapak, di sini, sejam selepas itu.

Pada masa ini, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenal pasti motif utama kejadian pembunuhan itu.

Kedua-dua mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, untuk siasatan lanjut mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan.

Selain itu, polis juga sedang mengesan saki baki suspek lain yang mungkin turut terbabit dan bersubahat dalam kejadian ini.

Sebelum ini, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang dilaporkan hilang, dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lalu.

Siti Kharina sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berumur antara 10 hingga 14 tahun yang kini menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan – Berita harian