KUALA LUMPUR: Polis menahan 17 individu berusia 14 tahun hingga 20 tahun dan memburu 16 lagi suspek bagi membantu siasatan kes bunuh seorang remaja berusia 17 tahun di Taman Melati, Ahad lalu.

Semua suspek, termasuk tiga remaja perempuan itu kini direman tujuh hari sehingga 26 Mei depan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan Seksyen 148 kanun sama kerana merusuh.

“Pada hari kejadian, Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur menerima aduan berhubung satu kes pergaduhan membabitkan kumpulan bermotosikal di hadapan sebuah restoran makanan segera di Taman Melati, kira-kira jam 4.31 pagi.

“Susulan itu, sebuah kereta peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di arah ke lokasi untuk pemeriksaan dan menemui mayat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mazlan berkata, siasatan awal mendapati dua kumpulan motosikal itu sebelum ini bergaduh di Taman Tasik Titiwangsa, minggu lalu.

“Kumpulan mangsa dikatakan dihampiri sekumpulan bermotosikal yang lain yang membuat bising dengan memulas pendikit motosikal menyebabkan berlaku perselisihan antara kedua-duanya.

“Berikutan kejadian itu, kedua-dua kumpulan bersetuju untuk bertemu sekali lagi di sebuah stesen minyak di Taman Melati dan berlaku pergaduhan.

“Mereka menggunakan topi keledar dan besi pengunci motosikal sebagai senjata.

“Mangsa cedera pada leher dipercayai akibat dibelasah dengan topi keledar dan besi pengunci motosikal. Dia disahkan meninggal di lokasi kejadian,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kanan IPD Wangsa Maju, Asisten Superintendan G Stephen, di talian 03-92899222 atau 016-3767390 – berita harian