JOHOR BAHRU: Tindakannya menyucuk pinggang serta memegang tangan penumpang wanita dalam bas ekspres, menyebabkan seorang warga Pakistan, didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku mencabul kehormatan mangsa.

Majistret Siti Hajar Ali mengenakan hukuman itu terhadap tertuduh, Haris Mohamad Moin, 25, selepas warga asing itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya.

Tertuduh turut diperintah menjalani penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan seorang wanita tempatan berusia 23 tahun, dalam sebuah bas ekspres di hadapan pusat beli-belah di Tampoi di sini, kira-kira jam 7 pagi, 8 Februari lalu.

Tertuduh yang bekerja sebagai tukang paip didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan hanya berpendapatan RM930 sebulan, serta perlu menanggung empat adiknya yang masih bersekolah di Pakistan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Jalil Salam Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nur Zafirah Norizan dan Siti Nadia Yahya.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku di dalam bas ekspres itu ketika mangsa sedang berdiri sebelum tertuduh mencucuk pinggang dan memegang tangan mangsa – berita harian