IPOH: Perak mencatatkan sebanyak 454 kes penyakit Chikungunya bagi tempoh Januari hingga 23 Mei tahun ini, berbanding hanya 13 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 441 kes atau melebihi 30 kali ganda.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ling Lay Ming berkata,
daerah Kampar mencatatkan bilangan kes Chikungunya tertinggi tahun ini, iaitu sebanyak 157 kes, diikuti LMS (109 kes) dan Kinta (99 kes).

Menurutnya, dalam tempoh yang sama, daerah Kinta menunjukkan peningkatan tertinggi bagi kejadian kes dan wabak Chikungunya.

“Sehingga minggu epid ke 21 tahun 2020, terdapat 15 lokaliti wabak Chikungunya yang masih aktif dilaporkan di negeri Perak termasuk satu lokaliti wabak tidak terkawal (tempoh wabak berlarutan melebihi 14 hari) di daerah Kinta dan 14 lokaliti wabak terkawal (tempoh wabak adalah 14 hari atau kurang) iaitu 12 lokaliti wabak terkawal di daerah Kinta dan dua di daerah Kampar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, sehingga ini tiada kematian disebabkan penyakit itu dilaporkan.

Menurut Lay Ming, hasil pemeriksaan pembiakan Aedes, yang merupakan vektor pembawa virus Chikungunya, didapati punca utama perebakan jangkitan Chikungunya adalah kerana indeks pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti–lokaliti terbabit.

Katanya, antara tempat pembiakan nyamuk Aedes yang ditemui adalah di longgokan sampah haram, lot kosong terbiar, rumah/premis kosong tidak berpenghuni (terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan), longkang yang tidak diselenggara dengan baik, tapak bina, tong tadahan air yang tidak bertutup di dalam dan luar rumah.

“Sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di tempat awam, serta tidak endah dengan kebersihan sekeliling turut menjadi penyumbang utama kepada pembiakan nyamuk Aedes dan seterusnya peningkatan kejadian kes Chikungunya,” ujarnya.

Beliau memberitahu, bermula awal tahun sehingga 23 Mei lalu, sebanyak 4,969 bekas positif pembiakan nyamuk Aedes telah ditemui di Perak.

Katanya, Jabatan Kesihatan Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung kejadian Chikungunya, termasuk pemeriksaan dan penghapusan tempat-tempat pembiakan serta tindakan penguatkuasaan.

Menurutnya, sebanyak 749 kompaun dan 116 notis pembersihan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 telah dikeluarkan terhadap pemilik premis yang membiak Aedes.