SERI ISKANDAR: Jumlah kumulatif kes denggi di Perak dari 1 Januari hingga 8 Ogos tahun ini mencatatkan peningkatan sehingga 77 peratus atau 1,951 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, tahun ini Perak telah mencatatkan 4,465 jumlah kumulatif kes denggi berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 2,515 kes.

“Jumlah kumulatif kematian denggi pula adalah sebanyak 9 kes berbanding 7 kes untuk tempoh sama pada tahun lalu.

“Sekitar 60 peratus daripada kes-kes tersebut pula dicatatkan di daerah Kinta dan lain-lain daerah pula lebih kurang sama,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Denggi ASEAN di sini pada Khamis.

Bagaimanapun beliau berkata jumlah kes berkenaan masih lagi tidak seteruk 2015.

“Sebenarnya pada tahun lalu kita telah berjaya menurunkan kes denggi dengan mendadak, pada 2015 kita mencatatkan lebih 9,000 kes dan berjaya diturunkan kepada 2,515 kes pada tahun berikutnya.

“Jadi saya percaya jika kita teruskan usaha dan kerja-kerja seperti mana yang kita lakukan tahun lalu,kes-kes ini akan turun semula dalam masa terdekat,” ujar beliau.

Sehubungan itu beliau turut menyeru masyarakat agar lebih peka dalam penjagaan kebersihan di kawasan masing-masing.

“Saya harap kita semua lebih peka dan ambil langkah proaktif dalam memastikan kawasan persekitaran kita nyamuk aedes ini tidak boleh membiak.

“Jika ada air bertakung di sesuatu tempat itu, bersihkannya atau buang air itu, jangan dibiarkan sahaja,” jelas beliau.