IPOH: Kes demam denggi di Perak mencatatkan penurunan sebanyak 55.6 peratus sehingga 6 Oktober tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional Dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata, sebanyak 2,169 kes demam denggi dilaporkan tahun ini, berbanding 4,887 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut beliau, dalam tempoh yang sama juga, sebanyak lima kes kematian akibat denggi dilaporkan, berbanding 11 kes yang dilaporkan untuk tempoh yang sama tahun lalu.

“Daripada pemantauan yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri, tempat-tempat utama pembiakan nyamuk Aedes ialah tempat pembuangan sampah, tanah kosong, taman binaan dan tempat rekreasi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Membenteras Demam Denggi Peringkat Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ding Lay Ming dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Ling He Mey.

Dalam pada itu, Sivanesan memberitahu, tumpuan akan diberikan kepada kawasan `hot-spot’ denggi baru iaitu Flat Taman Bersatu, Kampung Boyan di Taiping yang telah mencatatkan 21 kes sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, terdapat empat blok flat itu yang sangat teruk, seperti tiada penutup tangki air, menjadi tempat tumpuan burung dan banyak unit kosong yang dipenuhi sampah.

Sehubungan itu, katanya, Majlis Perbandaran Taiping diminta untuk menyediakan laporan yang akan dibawa ke peringkat mesyuarat minguan Exco kerajaan negeri Perak untuk tindakan selanjutnya.

“Kami akan membuat lawatan ke tempat ini bersama-sama agensi kerajaan untuk memastikan adakah flat ini selamat untuk diduduki, adakah ia perlu dirobohkan demi menjaga keselamatan.

“Apakah kalau kita biarkan flat ini dalam keadaan sekarang, kita dapat mengawal keadaan denggi dan saya difahamkan kebanyakan penghuni di situ warga asing,” ujarnya sambil menambah, sebanyak RM1 juta diperlukan untuk memperbaiki flat tersebut.

Beliau mengakui, jika dibiarkan flat itu tanpa berbuat apa-apa, pihak berkuasa tidak mampu untuk mengawal denggi di kawasan itu, kerana pernah cuba menyelenggara kawasan itu sebelum ini tetapi tidak berkemampuan.