TELUK INTAN – Sebanyak 203 kes denggi dicatatkan di Daerah Hilir Perak bermula minggu pertama hingga ke-30 tahun ini berbanding 139 kes tempoh sama tahun lalu.

Malah sebanyak sembilan wabak diisytiharkan Jabatan Kesihatan Daerah Hilir Perak melibatkan Taman Changkat, Taman Indah, Pasar Besar Teluk Intan, Kampung Terengganu, Taman Intan Baru, Taman Impian, Jalan Woo Saik Hong dan Taman Intan Mas 2 yang diisytiharkan sebanyak dua kali.

Adun Pasir Bedamar Terence Naidu berkata, peningkatan kes dan juga kawasan diisytiharkan wabak amat membimbangkan kerana Perak mencatat penurunan kes denggi sebanyak 60 peratus tetapi di daerah ini ia menunjukkan peningkatan.

“Malah saya juga difahamkan sehingga kini terdapat tiga lokasi wabak denggi yang masih aktif iaitu di Taman Impian, Jalan Woo Saik Hong dan Taman Intan Mas 2.

“Masalah ini perlu di atasi dengan segera memandangkan kita tidak mahu Teluk Intan khususnya dan  Daerah Hilir Perak amnya menjadi antara kawasan kes denggi terbanyak,” katanya selepas merasmikan Program Gotong-Royong Perdana Peringkat Negeri Perak, di Pasar Awam Teluk Intan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Vektor, Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Rizawati Mahpot berkata, peningkatan kes denggi sebanyak 46 peratus di Hilir Perak itu diberi perhatian serius jabatan.

“Kita dapati peningkatan ketara kes denggi berlaku selepas PRU14 dan ketika bulan puasa kerana tapak bazar dan pasar besar secara lazimnya merupakan antara punca wabak itu menular sebelum di bawa ke kawasan perumahan.

“Bagaimanapun, trend kes denggi menurun sejak dua minggu ini hasil tindakan bersepadu dan agresif Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak dengan bantuan agensi terlibat sejak tiga bulan lalu,” katanya – sinar