KUALA LUMPUR: Biro Politik PKR yang akan bermesyuarat petang ini akan dimaklumkan berkaitan status Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu akan dimaklumkan oleh jawatankuasa disiplin parti itu.

“Jawatankuasa disiplin akan maklumkan kepada kami…semestinya, (hari ini), penjelasan diberikan kepada jawatankuasa disiplin, bukan kepada saya, (akan dimaklumkan) dalam mesyuarat mingguan biro politik,” kata Anwar, kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Haziq yang mendakwa mempunyai hubungan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali diberikan notis 14 hari menjelaskan kenyataannya itu kepada jawatankuasa disiplin parti pada 19 Jun.

Ini kerana dakwaan dalam kenyataannya itu dikatakan menjejaskan imej parti.

Pada 12 Jun, bekas pegawai Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin itu mengakui dirinya terlibat dengan Azmin, dalam rakaman video hubungan seks sejenis yang tular.

Menteri hal ehwal ekonomi itu bagaimanapun menafikan penglibatannya dalam video itu.

Susulan kenyataan Haziq, pemimpin PKR bertelagah dan ada yang meminta supaya Haziq dipecat.

Antara yang lantang adalah Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang diketahui umum rapat dengan Azmin. Malah, kata ahli parlimen Ampang itu, Haziq sudah pasti akan dipecat jika beliau adalah presiden parti.

Naib Ketua Wanita PKR Faizah Ariffin kemudian, menyelar Zuraida, kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah daripada yang dipersetujui parti.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Azmin tidak perlu dipecat kerana video tersebut satu cubaan untuk memusnahkan kerjaya politik ahli Parlimen Gombak itu.-MalaysiaKini