IPOH: Jumlah pelajar yang dijangkiti virus Influenza Like Illness (ILI) di negeri Perak terus meningkat kepada 465 kes setakat Isnin, berbanding 438 kes pada Ahad.

Terbaru, sebanyak 27 kes dilaporkan melibatkan 25 pelajar Sekolah Izzudin Shah, Ipoh dan masing-masing satu kes dari Sekolah Raja Perempuan Taayah dan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Teluk Intan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, sejak semalam, hanya satu kluster baru melibatkan Sekolah Izuddin Shah, dilaporkan.

“Pecahan bagi kesemua kes, Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) telah meningkat ke 115 kes, Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah (226), Kolej Vokasional Slim River kekal 13 kes dan SK Klebang Jaya juga kekal tiga kes, SMART meningkat kepada 83 kes dan 25 kes dicatatkan di Sekolah Izuddin Shah, Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Isnin.

Menurut beliau, sebanyak 14 kes baru telah diasingkan ke dalam bilik sekolah masing-masing, sekaligus menjadikan jumlah kumulatif pengasingan seluruh negeri sebanyak 287 kes.

Tambah Dr Mah, tiada kes baru melibatkan pelajar dimasukkan wad dan setakat Isnin, tiga kes telah dibenarkan keluar, masing-masing dua kes di Hospital Slim River dan satu di Hospital KPJ Penang.

“Sehingga kini, sampel yang telah disahkan menunjukkan keputusan empat sampel positif Influenza A (H3) dan Sembilan kes positif Influenza B,” ujarnya.