IPOH: Kes kebakaran di negeri Perak meningkat hampir dua kali ganda daripada 3,579 pada tahun 2015 kepada 6,490 kes pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri. Datuk Rusnah Kassim berkata, untuk tahun 2017 pula setakat Februari terdapat 524 kes telah dicatatkan.

Justeru itu, menurut beliau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Perak sedang menaiktaraf kelengkapan dan mempergiatkan kempen kesedaran keselamata kebakaran di kalangan masyarakat bagi mencegah peningkatan kes kebakaran itu.

Beliau memberitahu, terdapat 32 buah balai bomba di negeri ini, kesemuanya juga telah dilengkapi dengan perlatan kebombaan, jentera pemadam, water tanker, jentera Hazmat, bot penyelamat dan unit motorsikal RIM.

“Terbaharu, 19 buah ambulans Emergency Meical Rescue Services (EMRS) yang ditempatkan di 19 buah balai bomba & penyelamat seluruh negeri.

“Dari segi kempen kesedaran pula, pada tahun 2016 sebanyak 1,805 aktiviti kempen kesedaran telah diadakan dengan 5 aktiviti kempen berskala besar melibatkan Program Bomba Komuniti iaitu di Kampung Ulu hepor, Kuala Kurau, Flat Silibin, Manjung dan Tanjung Malim,” katanya ketika menjawab soalan lisan Chua Yee Ling (PKR-Kuala Sepetang) di Sidang DUN pada Khamis.

Dalam pada itu, Rusnah memberitahu, bagi meningkatkan kemahiran Bomba Sukarelawan pula, JBPM telah menetapkan beberapa program latihan.

“Latihan itu diadakan setiap bulan dan 8 jam sekali sesi, peserta dilatih menggunakan peralatan-peralatan serta dilatih memeriksa kesemua perlatan itu.

“Malahan, bomba Perak juga telah mengagihkan geran bantuan RM3,000 kepada setiap pasukan Bomba Sukarela yang berdaftar di negeri ini bagi tujuan penyelenggaraan perlatan dan lain-ain keperluan aktiviti mereka,” jelas beliau.