TAIPING – Kes melibatkan kegagalan buah pinggang disebabkan penyakit diabetes di negara ini semakin meningkat.

Pengarah Hospital Taiping, Dr Kamaruddin Alias berkata, sekiranya trend tidak sihat ini tidak dihentikan, Malaysia akan berada pada kedudukan teratas di dunia dengan jumlah kes tertinggi menjelang 2030.

Menurutnya, sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia, penekanan diberikan terhadap pendidikan tentang bahaya obesiti dan kesannya terhadap penyakit buah pinggang.

“Jumlah pesakit buah pinggang dilaporkan hampir 40,000 orang di seluruh negara tahun lalu dan ia terus meningkat disebabkan gaya hidup tidak sihat yang diamalkan masyarakat hari ini,” katanya selepas Majlis Perlepasan Jelajah Kayuhan Kangar-Putrajaya Hospital Taiping sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2017 di Lobi Bangunan Servis Klinikal (CBS) Hospital Taiping, di sini.

Majlis disempurnakan Ahli Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Shahril Azmir Ahmad Shaffie.

Tambah Kamaruddin, satu perempat daripada 40,000 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dirawat di hospital-hospital kerajaan manakala selebihnya di hospital swasta dan pusat dialisis.

“Buah pinggang boleh rosak disebabkan banyak faktor antaranya penyakit tekanan darah tinggi, obesiti dan kencing manis.

“Semua penyakit ini boleh dicegah dan masyarakat seharusnya mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

-SinarHarian