TAIPING – Tidak sampai sebulan, episod kes keracunan makanan melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping berulang kembali hari ini.

Kali ini, Sinar Harian difahamkan lebih kurang 20 pelajar sekolah itu dikejarkan ke Hospital Taiping sejak awal pagi tadi bagi menerima rawatan susulan mengalami gejala keracunan makanan seperti sakit perut, muntah dan lesu.

Seorang waris pelajar hanya dikenali Lyna, 42, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anaknya yang memaklumkan dirinya merupakan sebahagian pelajar MRSM Taiping mengalami keracunan makanan.

Menurutnya, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan lima sekolah terbabit turut memberitahu mengalami gejala penyakit itu setelah menikmati hidangan sarapan di dewan makan sekolah terbabit.

“Susulan itu, anak saya menjelaskan sejumlah tiga van dan sebuah bas terpaksa digunakan bagi menghantar kesemua pelajar yang menghidap penyakit keracunan makanan ke Hospital Taiping termasuk dirinya.

“Berdasarkan maklumat diberikan, keadaan penyakit anak saya tidak begitu teruk dan hanya menerima rawatan pesakit luar, namun keadaan beberapa pelajar difahamkan sedikit serius sehingga ada dimasukkan ke dalam wad,” katanya kepada media di sini hari ini.

Lyna turut menggesa pengurusan MRSM Taiping menamatkan segera kontrak pengusaha dewan makan asrama pelajar sedia ada susulan kes keracunan makanan membabitkan pelajar sekolah itu berulang kembali tidak sampai sebulan.

“Kes membabitkan keracunan makanan sebenarnya amat membimbangkan golongan ibu bapa dan waris pelajar kerana penyakit itu bukan sahaja menjejaskan fokus pembelajaran anak-anak, malah boleh mendatangkan mudarat kesihatan lebih serius.

“Saya mohon pengurusan sekolah lebih serius dalam menangani kes sebegini dan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha dewan makan terbabit sekiranya terbukti mereka tidak mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan pelajar,” katanya.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan, Dr Abdul Aziz Bari sewaktu dihubungi mengesahkan lebih 20 pelajar MRSM Taiping telah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan kes keracunan makanan.

Menurutnya, pihaknya bercadang untuk mengadakan lawatan ke Hospital Taiping lewat petang ini bagi meninjau keadaan sebahagian pelajar yang ditempatkan ke wad.

“Kita sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai punca kes keracunan makanan itu daripada agensi bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan daripada pengurusan MRSM Taiping gagal apabila pihak sekolah enggan bertemu dengan wakil media yang hadir ke sekolah tersebut.

Pada 12 Julai lalu, sejumlah 31 pelajar MRSM dikenal pasti menghidap keracunan makanan susulan dipercayai menikmati hidangan soto di dewan makan sekolah berkenaan pada malam sebelumnya.

Susulan itu, sebahagian besar pelajar sekolah diarahkan pulang ke rumah masing-masing sejak tengah hari Khamis berikutan dewan makan asrama pelajar ditutup Jabatan Kesihatan Daerah Larut Matang untuk siasatan lanjut – sinar