IPOH – Kesedaran orang awam terhadap bahaya di kawasan air perlu dipertingkatkan memandangkan kes lemas sejak akhir-akhir ini kerap berlaku.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, berdasarkan statistik, berlaku peningkatan kes menyelamat dan kematian di dalam air berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak meminta orang ramai supaya lebih berwaspada ketika berada di tempat-tempat rekreasi air dan menggalakkan mereka mempelajari tentang teknik serta ilmu menyelamat.

“Pada kebiasaannya, setiap kali cuti sekolah dan cuti perayaan kadar kematian akibat lemas itu meningkat.

Ketika musim cuti seperti ini, kita rasa keadaan risau dan bimbang akan ada mangsa lemas.

“Saya minta orang awam tahu aspek-aspek keselamatan di air yang perlu mereka fahami. Mereka perlu peka dengan keadaan sekeliling. Kadang-kadang kita nak kawal seluruh tempat itu memang tak berdaya tapi dengan adanya kesedaran orang awam itu sendiri tentang bahayanya melakukan aktiviti di kawasan-kawasan ini, kes lemas ini dapat dielakkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Oktober JBPM Perak di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Menyelamat Perak, Bandar Meru Raya, di sini.

Sayani berkata, semua ketua balai bomba dan ketua zon di negeri ini diarahkan supaya mengenal pasti jumlah lombong, kawasan rekreasi sungai dan tempat-tempat yang sering dikunjungi orang awam sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurutnya, pihak JBPM Perak juga menggalakkan ketua-ketua balai berbincang dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk bersama-sama membantu memaklumkan orang ramai supaya mengawasi bahaya di kawasan perkelahan di tempat mereka.

Dalam perkembangan lain, Sayani berkata, anggotanya turut terlibat dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Pulau Pinang.

Katanya, seramai 22 pegawai dan anggota dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang.

Sementara itu, beliau turut meraikan kejayaan pasukan Kawad Kecekapan Perak yang merangkul juara keseluruhan bagi Pertandingan Kawad Kecekapan Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Terengganu.

Turut diadakan sempena perhimpunan bulanan itu, Majlis Serah Terima Tugas Ketua Balai Bomba bagi sembilan Balai Bomba dan Penyelamat di negeri ini – sinar