IPOH – Kes seorang jurulatih fisioterapi pasukan bola sepak berusia 54 tahun yang menjadi suspek kes cabul dan liwat tiga pelajar sebuah sekolah di sini ditutup selepas lelaki itu ditemui dalam keadaan tergantung dipercayai membunuh diri di dalam sebuah bilik hotel Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, susulan daripada kes itu, pihaknya akan membantu mangsa dengan memberikan kaunseling menerusi unit kaunseling Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman.

Jelasnya, terdapat beberapa pelajar lain telah membuat keterangan selepas tiga mangsa tampil membuat laporan sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan jumlah pelajar yang tampil membuat laporan dan keterangan berikutan kes ini sudah ditutup.

“Setakat ini, polis memberi bantuan dari aspek kaunseling dalam usaha untuk membantu mereka untuk menghadapi masa depan sekali gus mengembalikan keyakinan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua JSJ (Risikan dan Operasi) di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini sebentar tadi.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan, suspek ditemui mati dipercayai menggantung dirinya pada pukul 5.40 petang Selasa lalu di dalam bilik hotel di bandaraya ini selepas tiga pelajar sekolah terbabit berusia antara 14 dan 15 tahun membuat laporan polis sehari sebelum itu.

Berdasarkan laporan, tiga mangsa itu mendakwa diri mereka diliwat dan dicabulnya sejak Mei tahun lalu hingga Mac tahun ini. – K! ONLINE