SEBANYAK 13 laporan polis diterima berhubung kejadian pemandu lori yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis dari Batu 9, Cheras ke USJ 1, Subang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan daripada pemilik kenderaan dan anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Setakat ini, kami sudah menerima 12 laporan polis daripada pemilik kenderaan dilanggar suspek terbabit di sebuah pangsapuri di USJ 1, Subang.

“Laporan di kawasan Kajang juga dibuat anggota polis terbabit selepas suspek cuba melanggarnya,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Dzaffir berkata, berdasarkan siasatan, pemandu lori berusia 27 tahun itu turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Dia kini menerima rawatan di Hospital Kajang akibat cedera pada telinga selepas dibelasah orang awam, sebelum ditahan.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 14 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.

“Selain itu, kes disiasat Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya – hmetro