MANJUNG – Jumlah kes penipuan Macau Scam di daerah Manjung menurun apabila mencatatkan penurunan 36.11 peratus bersamaan 13 kes bagi tempoh awal Januari hingga Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim berkata, 36 kes penipuan Macau Scam dicatatkan di daerah berkenaan bagi tempoh awal Januari hingga Jun 2017.

“Bagaimanapun bagi tempoh sama tahun ini, kes berkenaan menurun di mana kita hanya menerima 23 kes sahaja melibatkan pelbagai individu yang ditipu termasuklah kakitangan kerajaan.

“Bagi jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa pula adalah sebanyak RM1,144,922 bagi Januari hingga Jun 2017  berbanding RM638,962 bagi tempoh sama tahun ini,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Boo Khim, pelbagai modus operandi digunakan sindiket terbabit dalam memperdayakan orang ramai termasuklah menyamar sebagai pegawai bank tempatan, pihak polis serta pihak mahkamah.

“Nombor telefon yang tertera juga merupakan nombor telefon asal sesebuah agensi kerajaan atau bank di mana suspek menggunakan teknik spoffing atau VOIP.

“Mereka memaklumkan kepada mangsa kononnya identiti mangsa telah disalah guna oleh pihak tertentu dan mengarahkan mangsa memindahkan wang ke akaun pihak ketiga untuk tujuan penyiasatan atau menyelesaikan kes,” katanya.

Boo Khim turut menasihati orang ramai agar tidak panik sekiranya dihubungi oleh mana-mana individu yang menyatakan anda mempunyai hutang tertunggak atau terlibat dalam kes dadah dan sebagainya.

“Jangan panik, catit identiti pemanggil dan maklumat yang dinyatakan, beritahu pemanggil anda akan ke pejabat lalu letak telefon sebelum menghubungi pusat agensi panggilan berkenaan bagi mendapatkan kepastian,” katanya – sinar