SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli atas kesalahan mendedahkan penyata akaun bank anak syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, pada 2012.

Rafizi (kot hitam) tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi tadi sambil ditemani pemimpin PKR dan Pakatan Harapan.

Hakim Zamri Bakar mendapati Rafizi dan seorang lagi tertuduh, Johari Mohamad yang merupakan bekas kerani bank bersalah di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan penyata akaun NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Salleh.

“Kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” katanya dalam penghakiman ringkas.

Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan peguam, Ahmad Nizam Hamid dan Latheefa Koya menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan.

Rafizi didakwa mendedahkan penyata akaun bank itu kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Naib presiden PKR itu didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bafia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 3 tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Johari pula didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bafia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103 akta sama atas kesalahan bersubahat.

Rafizi “bersyukur” dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan yakin rayuannya akan dibenarkan atas dasar teknikal.

Sementara itu, Rafizi ketika ditemui wartawan di luar mahkamah berkata, beliau “bersyukur dan lega” dijatuhkan hukuman penjara berbanding denda.

“Jika mahkamah menjatuhkan denda berat, saya mungkin tidak mampu bayar dan perlu ditahan terus.”

Jika dimasukkan ke penjara, katanya, beliau mungkin tidak dapat berkempen untuk Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Rafizi yakin rayuannya akan dibenarkan atas dasar teknikal.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lailawati Ali meminta mahkamah menjatuhkan hukuman 6 bulan penjara dan denda RM500,000 ke atas Rafizi serta Johari.