IPOH: Kes-kes peniaga cuba mengaut keuntungan semasa musim perayaan menunjukkan pengurangan ketara berikutan kempen kesedaran dan operasi penguatkuasaan berterusan yang dilaksanakan di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hasan berkata perkara ini terbukti apabila operasi yang dijalankanan sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini mendapati tidak ramai peniaga yang melakukan kesalahan.

Katanya, sejumlah 2,666 premis runcit dan borong seluruh negeri telah diperiksa dalam tempoh 12 hari sepanjang musim perayaan ini.

Jumlah premis yang diperiksa adalah tinggi berbanding hanya  968 premis pada tahun lepas, katanya.

“Jika nak dibandingkan premis yang diperiksa begitu banyak sekali tetapi kita bangga daripada jumlah hanya tiga kes sahaja kita kesan ada buat salah tidak letak tanda harga merah jambu untuk barang kawalan.

“Berbeza pada 2017 terdapat 21 peniaga yang didapati tidak mengikut peraturan ini,” katanya.

Samsudin berkata malah jumlah kompaun yang dikeluarkan kepada peniaga juga berkurangan iaitu berjumlah RM400 berbanding RM6,400 pada tahun lepas.

Bagi nilai rampasan pula, kata beliau hanya RM107.97 direkodkan berbanding RM6,749 pada 2017.

“Jika kita bandingkan kes dan kompaun yang kita keluarkan menunjukkan perbezaan ketara sekali dan ini satu petanda yang begitu positif sekali.

Ia mencerminkan bahawa sikap peniaga yang cuba kaut keuntungan sudah dapat dibenteras dan ianya mungkin timbul daripada kesedaran tinggi kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Jadilah Pengguna Bijak dan Anti Dadah serta sebuah program walkabout bersama KPDNKK di Pasar Awam Tanjung Rambutan pada Jumaat.

Menurut Samsudin, secara keseluruhannya kerajaan negeri bersama KDPNKK telah berjaya mencapai maklumat yang dihasratkan dan menanam kesedaran mendalam bukan sahaja kepada peniaga malah kepada pengguna yang terlibat.

Katamya, antara perubahan ketara dalam penurunan jumlah ketara melibatkan rampasan dan kompaun malah ia menunjukkan barangan kawalan dijual dengan harga berpatutan.

“Perubahan ini juga bermaksud bekalan barangan sepanjang tempoh kawalan mencukupi sewaktu musim perayaan.

Saya berharap agar usaha dan kerjasama komuniti akan digembeling dan dikumpul bagi aktiviti seterusnya,”katanya lagi.