TAIPING – Tempoh tahanan reman seorang lelaki yang disyaki memukul isterinya malam Khamis lalu disambung lagi selama tujuh hari bermula hari ini.

Pendaftar Noraishah Ahmad membenarkan tertuduh direman sehingga 22 Januari ini bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas kes tersebut dilakukan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata suspek sebelum ini direman tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Katanya, reman berkenaan yang tamat hari ini dilanjutkan bagi membolehkan kes disiasat pula mengikut Seksyen 302 kanun sama kerana membunuh.

“Tempoh reman suspek disambung sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan suspek pada mulanya dipercayai memukul isterinya, Noor Wahidah Abd Wahid, 38, di rumah mereka di Matang disyaki kerana cemburu sehingga menyebabkan mangsa cedera.

Pada jam 9.15 pagi keesokannya, mangsa tidak sedarkan diriĀ  lalu dibawa ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Pemeriksaan doktor mengesyaki mangsa mengalami kecederaan di kepada akibat dipukul menggunakan senjata tumpul sebelum disahkan meninggal dunia di hospital sama pada jam 9.30 malam berkenaan.

Mohamad berkata, empat anak pasangan itu, berusia lima hingga 15 tahun kini berada di bawah jagaan saudara mara mangsa.