IPOH: Tiga lelaki termasuk seorang warga Pakistan direman enam hari di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat berhubung kes rasuah bagi urusan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Ketiga-tiga mereka, yang berusia antara 46 dan 57 tahun itu, adalah antara lebih 10 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di beberapa negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang dan Johor semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Penolong Pendaftar, Puteri Nordina Kamalaudin membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman ketiga-tiga individu itu selama enam hari sehingga 3 Mei ini.

Ketiga-tiga mereka dikatakan bertindak sebagai ejen dan orang tengah yang menawarkan rasuah beberapa kali kepada kakitangan MyEG Services Bhd (MyEG) supaya proses penerimaan plks pekerja asing itu boleh dilakukan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Suspek pertama warga Pakistan ditahan di kawasan Tasek jam 12.30 tengah hari manakala dua lelaki warga tempatan masing-masing ditahan di sebuah restoran di Meru Raya jam 8.10 malam dan di Batu Gajah jam 9 malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.