KUALA LUMPUR: Kes rasuah dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan penyelenggaraan serta operasi genset/diesel bagi sekolah luar bandar di Sarawak yang sepatutnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi hari ini, ditangguhkan ke tarikh lain.

Ia berikutan peguam yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu hanya menerima dokumen permohonan untuk memindahkan kes itu daripada pihak pendakwaan, pagi ini.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu mahkamah, pihaknya memerlukan tarikh yang lain bagi meneliti permohonan pendakwaan .

Mengenai permohonan pihak pendakwaan supaya kes rasuah dan kes pengubahan wang dihadapi anak guamnya dibicarakan bersama, Akberdin berkata kedua-dua kes yang hendak dibicarakan bersama itu membabitkan transaksi yang berbeza.

Oleh itu katanya, beliau dan peguam bela yang lain turut memerlukan masa untuk meneliti dan menjawab permohonan terbabit.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah, pihaknya berpendapat, permohonan hari ini hanya untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, Mohd Akram berkata, beliau merasakan bahawa pihak pembelaan tidak memerlukan masa lama untuk meneliti permohonan berkenaan.

“Kebimbangan peguam bela adalah mengenai permohonan bagi kes ini dibicarakan bersama dengan kes pengubahan wang haram.

“Hari ini hanya untuk memindahkan kes sahaja. Oleh itu jika ada permohonan untuk dibicarakan bersama, pihak pembelaan boleh kemukakan bantahan kemudian,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan 24 Januari ini bagi sebutan kes untuk mendapat maklum balas daripada pihak pembelaan sama ada untuk mengemukakan bantahan terhadap permohonan supaya kes dibicarakan bersama.

Rosmah didakwa meminta suapan berjumlah RM187,500,000 iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Ia sebagai dorongan untuk membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan penyelenggaraan serta operasi genset/diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini, antara Mac dan April 2016.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di No 11 Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan – berita harian