TIADA isu, kes selesai dan tidak perlu diperbesarkan.”

Itu penjelasan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Malik Abul Kassim mengenai gambar tular majlis pertunangan membabitkan anak seorang wanita Islam di sebuah kuil di negeri ini, semalam.

Beliau berkata, perkara itu sudah selesai dan ia bukan satu isu perlu diperbesarkan, tambahan pula ia membabitkan soal agama dan keluarga berkenaan sudah menjelaskan situasi sebenar.

“Kita tidak perlu memperbesarkan isu ini, malah tiada apa perlu diperjelaskan keluarga berkenaan kerana tiada perkara menyalahi undang-undang dilakukan mereka.

“Tindakan individu berkenaan mengambil gambar majlis itu tanpa memahami situasi sebenar adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Abdul Malik berkata, suami wanita bertudung di dalam gambar itu adalah seorang mualaf manakala anak sulungnya yang bertunang di majlis itu beragama Hindu.

Beliau berkata, keluarga berkenaan sudah menjelaskan situasi sebenar dan ia tidak perlu diperbesarkan.

Semalam tular gambar majlis pertunangan dihadiri seorang wanita bertudung diadakan di sebuah kuil di Flat Rifle Range, Kampung Baharu Air Itam, Georgetown dan dihadiri beberapa lagi individu lain.

Tiga keping gambar dimuat naik itu mengundang pelbagai persepsi liar warganet yang terkejut dengan situasi berkenaan selain mengundang pelbagai kecaman negatif.

Sementara itu, suami kepada wanita bertudung yang gambarnya dimuatnaik dan dikecam itu memberikan penjelasan di Facebook mengenai majlis berkenaan.

Dia yang menggunakan nama Ilyas Susai Devas, di dalam komen itu berkata, dia dan isteri keduanya itu memang beragama Islam.

Menurutnya, anak pertama dan mendiang isteri pertamanya masih beragama Hindu, namun dia dan isteri keduanya itu beragama Islam.

“Dalam gambar itu memang saya dan isteri. Anak pertama saya beragama Hindu dan apa salahnya kami hadir pada majlis pertunangan anak sulung saya itu.

“Tolong jangan burukkan nama keluarga saya dan Islam. Islam memang indah dan kami sekeluarga beragama Islam cuma anak sulung saya dan isteri pertama yang sudah meninggal dunia beragama Hindu,” katanya.

Menurutnya, sebagai ayah dia harus menghadiri dan menyelesaikan majlis pertunangan itu dan berharap semua pihak faham dan menyayangi satu sama lain.