MIRI: Siasatan kes serangan lanun yang menyebabkan kerugian RM18.5 juta terhadap sebuah syarikat perkapalan di utara negeri ini pada November tahun lalu masih diteruskan.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritiam Malaysia (Maritim Malaysia) Bahagian Miri, Kapten Fauzi Othman berkata, siasatan kes itu sudah diserahkan kepada pihak atasan untuk tindakan susulan.

Beliau berkata, sehingga kini belum ada sebarang maklumat terperinci diterima pihaknya berhubung siasatan kes itu, kerana ia membabitkan siasatan pelbagai peringkat siasatan.

“Siasatan terhadap serangan lanun yang merampas 3,700 tan minyak sawit bernilai RM18.5 juta, milik syarikat Pengangkutan Kekal Sdn Bhd di perairan Singkawang, Indonesia, November tahun lalu masih belum selesai.

“Namun, saya belum ada terima maklumat terkini berhubung siasatan kes berkenaan,” katanya di Majlis Hari Terbuka Maritim Malaysia Daerah Miri, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 22 November lalu, Kapal Tongkang Baj Ever Omega dirompak sekumpulan lanun bersenjatakan parang ketika dalam pelayaran membawa minyak sawit dari Bintulu menuju ke Butterworth, Pulau Pinang.

Kumpulan lanun itu turut mengikat 10 anak kapal termasuk kru kapal tunda Ever Prosper yang menarik tongkang itu.

Fauzi berkata, kegagalan syarikat perkapalan itu mengaktifkan isyarat kecemasan identifikasi yang ditetapkan Pusat Perjanjian Kerjasama Wilayah Memerangi Lanun dan Rompakan Ke Atas Kapal Asia (ReCAAP) menyukarkan usaha memerangi lanun.

Katanya, semua kapal yang membawa muatan bernilai harus mengaktifkan isyarat itu bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan pantas memerangi lanun.

“Jika isyarat itu dipadamkan, ReCAAP tidak akan dapat mengesan kedudukan akhir kapal berkenaan, sekali gus menyukarkan tindakan diambil,” katanya.

Maritim Malaysia memiliki sistem satelit yang dikenali sebagai Cospas Sarsat yang berfungsi sebagai pusat untuk menerima segala isyarat kecemasan yang dipancarkan oleh kapal termasuk isyarat kecemasan, sekiranya berlaku kejadian rompakan serta merta – berita harian