Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Lapan lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melakukan rusuhan melibatkan senjata berbahaya di Bandar Baru, Menglembu, dekat sini pada 2 Julai lepas.

Majistret Siti Hafiza Jaafar menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 terhadap tertuduh pertama, S. Loggarajan, 27, selain hukuman penjara selama 14 hari atas kesalahan berulang di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan beserta 12 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Empat lagi tertuduh, Joseph Raj Arputharaju, 29; P. Velmurugan, 34; K. Selva Ganapathy, 31, dan S. Magieswaran, 23, pula didenda RM1,000 dan tujuh hari penjara serta 12 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Tiga lagi tertuduh iaitu R. Satish Kumar, 22; M. Ilangeswaran, 28, dan S. Krishnan, 30, pula dikenakan denda RM1,000 serta perlu menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya mereka gagal membayar denda.

Kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan bersama-sama individu yang masih bebas menyertai perhimpunan serta menggunakan senjata yang boleh membawa maut, atau apabila digunakan sebagai senjata, boleh menyebabkan kecederaan.

Lapan tertuduh itu mengaku melakukan kesalahan tersebut terhadap S.N. Adwinray, 23; P. Kechan Kumar, 21, dan S. Sutager, 29, di Lorong Kledang Timur 10, Bandar Baru, Menglembu pada pukul 6.30 petang, 2 Julai lepas.

Kelapan-lapan lelaki itu membayar denda.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abraf sementara peguam Farihah Arshad mewakili kesemua tertuduh.

Pada 2 Julai lepas, tiga lelaki cedera parah akibat ditembak sekumpulan lelaki di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Menglembu.

Insiden tersebut dipercayai berpunca daripada pertengkaran di antara dua kumpulan semasa menonton perlawanan bola sepak di Padang Ipoh, kira-kira pukul 4 petang, hari yang sama.