LUMUT 26 Mei – Polis berjaya menemukan sangkar monyet di dalam sungai di Bota di Perak Tengah menerusi bantuan Pasukan Polis Marin berhubung kes tembak monyet di Lambor Kiri, Bota pada 18 Mei lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, bagaimanapun bangkai haiwan liar itu tidak ditemukan.

Menurutnya, sangkar yang ditemukan itu merupakan perangkap monyet.

“Sebenarnya monyet yang ditembak adalah seekor monyet liar yang telah terjerat masuk ke dalam perangkap tersebut.

“Boleh dikatakan motif kejadian adalah untuk menghapuskan monyet liar namun suspek menggunakan pendekatan yang salah dalam tindakannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Razarudin berkata, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang menembak haiwan liar itu serta bapanya yang berusia 54 tahun yang ditahan Rabu lalu memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

Kata beliau, siasatan telah hampir lengkap namun kertas siasatan perlu dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwaraya untuk sebarang keputusan.

“Suspek akan diberi jaminan polis sehingga mendapat arahan tuduh daripada Timbalan Pendakwaraya,” katanya. – UTUSAN ONLINE