IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), kesal apabila mendapati ada pihak yang cuba mencabar semua usaha yang dilakukan MBI terutamanya berhubung soal kebersihan.

Datuk Bandar, Datuk Zamri Man berkata, hasil pemantauannya di laman-laman sosial baru-baru ini perkara berkenaan dilihat mula berleluasa sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun menurutnya, perkara berkenaan dikenal pasti dilakukan hanya oleh dua atau tiga orang sahaja dan kemudiannya mendapat reaksi yang pelbagai.

“Perbuatan ini juga sebenarnya boleh dikenakan ,tindakan undang-undang. Kita jangan percaya semua. Kita pun tak mahu dedahkan siapa, cuma usaha yang dilakukan seolah-olah mencabar usaha yang kita laksanakan.

“Namun, ada juga yang memberikan komen yang baik terhadap segala usaha yang telah kita lakukan selama ini,” katanya lagi.

Zamri berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), pagi tadi.

-SinarHarian