KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji cadangan dan mekanisme untuk menjadikan kesalahan mengendap sebagai satu jenayah di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin, berkata ia adalah hasil mesyuarat bersama wakil Pejabat Peguam Negara, agensi dan kementerian yang berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan pada 30 Mei lalu.

“Kajian ini adalah terhad kepada keperluan bagi menjadikan kesalahan mengendap sebagai suatu jenayah dan tidak meliputi kaitan mengendap dengan jenayah lain.

“Pada masa kini, jika berlaku pembunuhan, pertuduhan akan dibuat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574].

“Persoalan sama ada hendak dikaitkan atau tidak dengan kesalahan jenayah mengendap dalam sesuatu pertuduhan membunuh adalah bergantung kepada fakta kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang bertanya sama ada kerajaan sudah mengkaji kaitan antara perbuatan mengekori atau mengendap (stalking) secara berulang, dengan perbuatan jenayah serius, terutama terhadap mangsa wanita yang dibunuh dan apakah usaha untuk menjadikan rogol dalam perkahwinan sebagai satu jenayah, selain daripada peruntukan dalam Kanun Keseksaan.

Berhubung isu rogol dalam perkahwinan, Mohamed Hanipa berkata, ketika ini, ada peruntukan undang-undang sedia ada iaitu seksyen 375A Kanun Keseksaan yang digunakan untuk menangani kesalahan suami menyebabkan kecederaan untuk mengadakan persetubuhan dengan isteri.

“Menurut seksyen 375A Kanun Keseksaan, mana-mana suami yang menyebabkan kecederaan atau ketakutan kematian atau kecederaan kepada isterinya atau mana-mana orang lain untuk mengadakan persetubuhan dengan isterinya boleh dipertuduh dan dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun,” katanya.

 

-BeritaHarian