PULAU PANGKOR : Kesan ketara penurunan harga barangan dan perkhidmatan di Pulau Pangkor bebas cukai dijangka dirasai mulai April 2020.

Buat masa ini memang terdapat perubahan harga selepas Pangkor diwartakan sebagai pulau bebas cukai pada 1 Januari 2020 lalu.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Intergrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A. Sivanesan berkata, penurunan itu secara tidak ketara dan berperingkat-peringkat kerana kebanyakan stok barangan yang ada telah dibeli oleh peniaga pada harga lama.

“Kita perlu tiga bulan to settle down, lepas tiga bulan kita akan lihat dan sehingga itu pemantauan akan dijalankan oleh pegawai-pegawai daripada KPDNHEP.

“Kita harus faham masalah peniaga kerana mereka ada stok yang dibeli pada harga lama,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan ke beberapa buah premis perniagaan di Pulau Pangkor, pada Isnin.

Menurutnya, bagi melindungi pengguna dan pengunjung daripada ditindas peniaga, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melaksanakan kajian indeks harga terhadap barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di pulau tersebut.

Katanya, kajian dijalankan mulai Disember 2019 sehingga Disember 2020 melibatkan tiga kategori iaitu barangan, makanan serta minuman dan caj perkhidmatan.

Menurutnya, maklumat harga itu akan dijadikan panduan dan asas kepada kajian hadapan serta kesan peningkatan atau penurunan harga setiap kategori.