TAIPING: Kesatuan Pekerja-pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia Semenanjung Malaysia (KEPAIM) menggesa kerajaan memberi jaminan akan meneruskan program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi meredakan kebimbangan 3,100 kakitangan terhadap masa hadapan mereka.

Presidennya, Ismail Yahya berkata, jaminan itu penting, bukan sahaja bagi memastikan nasib kesemua kakitangan terpelihara, bahkan bagi menjaga kepentingan masa hadapan 370,000 peminjam AIM yang masih komited dalam skim pinjaman mudah itu.

Menurut beliau, meskipun Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Junaidah Kiting memberi penegasan operasi AIM tidak terjejas, sebaliknya hanya akan menyiasat penubuhan dua anak syarikat AIM, majoriti kakitangan yang baru berkhidmat lebih 10 tahun resah memikirkan kemungkinan mereka diberhentikan.

“Sehingga kini, pengurusan tertinggi AIM hanya memaklumkan akan berbincang dengan pihak kementerian mengenai status badan itu dan belum ada lagi kenyataan daripada kementerian memberi jaminan AIM akan dikekalkan.

“Justeru, kesatuan berharap AIM bukan sahaja dikekalkan, malahan akan terus dibantu kerana badan itu sememangnya fokus membantu golongan berpendapatan rendah mengubah nasib kehidupan mereka sejak 31 tahun lalu,” katanya dalam sidang media di pejabat AIM cawangan Taiping, di sini, pada Isnin.

Ismail turut menyatakan kebimbangan terhadap nasib peminjam AIM yang rata-rata mendapat manfaat daripada skim pinjaman mudah diperkenalkan badan itu sekiranya dibatalkan.

Menurutnya, sehingga kini jumlah keseluruhan komoditi pinjaman AIM dinikmati lebih 300,000 peminjam seluruh negara sejak tahun 1995 adalah melibatkan nilai RM20 bilion.

Beliau memberitahu, di Perak sahaja, terdapat lebih 30,000 peminjam AIM direkodkan yang terdiri pelbagai bangsa dengan jumlah modal diperuntukkan sebanyak RM194 juta.

“Rata-rata peminjam memang bergantung sepenuhnya kepada skim pinjaman mudah berasaskan bayaran mingguan diperkenalkan AIM untuk menjalankan bisnes kecil-kecilan dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Bila timbul isu AIM bakal ditutup kerajaan, majoriti peminjam AIM menelefon pihak kami menanyakan status pinjaman dan kebimbangan tidak lagi mendapat kemudahan membuat pinjaman sebagaimana ditawarkan AIM selepas ini,” katanya.

Ismail turut mendedahkan lebih 50 peratus peminjam AIM di seluruh negara kini berjaya keluar dari garisan kemiskinan setelah menerima manfaat dari badan itu dengan 10 peratus daripadanya kini sudah diiktiraf sebagai usahawan berjaya.

Menurutnya, selain pinjaman ekonomi dan perniagaan, AIM turut menawarkan pinjaman pendidikan kepada anak-anak peminjam AIM untuk meringankan beban mereka dalam menyelesaikam kos pembelajaran anak-anak.

“Dengan kadar pembayaran balik pinjaman AIM mencecah 95 peratus, sebenarnya AIM tidak memberi beban tambahan kepada kerajaan, sebaliknya terbukti mampu membantu mengubah nasib ribuan rakyat kurang berkemampuan untuk mengubah kehidupan mereka.

“Dakwaan pinjaman AIM hanya dinikmati kaum tertentu juga salah kerana pinjaman badan ini dinikmati oleh semua kaum termasuk kaum peribumi Sabah dan Sarawak,” ujarnya.