BATU GAJAH: Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu (KPPKTMB) membuat resolusi membantah Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api (RNAA).

Presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata, setakat ini lima daripada 10 cawangan KPPKTMB sudah meluluskan resolusi berkenaan dalam Mestyarat Agong Tahunan masing-masing.

Beliau memberitahu, antara cawangan yang sudah meluluskan resolusi membantah RNAA adalah Ipoh, Gemas, Kuala Lipis dan Prai.

Menurutnya, pihak kesatuan berpendapat perjanjian antara KTMB dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) itu adalah bertujuan ‘membunuh’ KTMB sekali gus menjejaskan 4,000 kakitangannya.

“Kami berpendapat cadangan pelaksanaan perjanjian itu adalah tidak jujur dan dibuat hanya untuk melepaskan tanggungjawab Kementerian Pengangkutan dengan menyerahkan pengendalian jabatan-jabatan dan aset dalam KTMB kepada pihak luar mengikut Akta Keretapi 1991 yang kononnya adalah milik RAC, sedangkan perbadanan itu hanya bertindak sebagai pemegang amanah sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan ke-13 KPPKTMB Ipoh di Akademi KTMB, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB Cawangan Ipoh, Khairul Hishamuddin Md Yusof dan Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Cawangan Perak, Ridzuan Zakaria.

Abdul Razak berkata, RNAA yang dijangka ditandatangani pada Jun ini dilihat akan memusnahkan KTMB apabila perlu menyewa semua harta yang dimiliki RAC.

“Sebagai contoh jika RNAA dilaksanakan, KTMB kelak dikhuatiri terpaksa menyewa bangunan ibu pejabatnya sendiri yang dianggarkan RM2 juta sebulan, manakala stesen kereta api Kuala Lumpur juga perlu disewa dengan bayaran sama untuk beroperasi.

“Pendapatan KTMB di ibu negara melalui operasi Transit Aliran Ringan (LRT) dan komuter hanya dianggarkan RM4 juta sebulan dan jika RNNA dilaksanakan maka pastinya KTMB akan mengalami kerugian yang lebih teruk,” dakwanya.

Menurutnya, kesemua resolusi bantahan daripada ahli itu kelak akan dibawa ke Persidangan Perwakilan KPPKTMB untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak kami akan meneruskan bantahan hingga RNAA tidak dilaksanakan termasuk meminta campur tangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Pada 27 Mac lalu Kementerian Pengangkutan dilaporkan memberi jaminan tidak ada seorang pun daripada lebih 4,000 pekerja KTMB yang bakal terbabit dengan RNAA akan kehilangan pekerjaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Ab Aziz Kaprawi dalam sidang media di Pusat Media Parlimen berkata, tidak timbul persoalan perjanjian itu akan menyebabkan KTMB diambil alih pihak swasta.

Menurutnya, perjanjian itu selari dengan klausa 89 Akta Keretapi 1991 untuk mengasingkan antara pengendali perkhidmatan kereta api yang diuruskan KTMB manakala pemilikan, pengurusan dan penyelenggaran aset bakal diurus RAC.