SUNGKAI: Guru-guru di negeri ini secara keseluruhannya telah memainkan peranan yang cukup baik dalam melaksanakan tugas mereka sebagai pendidik yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak murid mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, walaupun ada aduan mengenai guru yang melakukan kesilapan atau tindakan yang tidak sepatutnya namun ia hanyalah kes terpencil.

“Sebagai pendidik, lazimnya kita ingin memberi yang terbaik untuk anak-anak murid kita,” katanya ketika berucap di majlis Seindah Syawal Bersama Warga Pendidik Parlimen Tanjung Malim di Dewan Besar MRSM Felda di sini pada Khamis.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Gazali Jalal; Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria; Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Pengarah Pendidikan Negeri, Mat Lazim Idris.

Dalam ucapannya itu, Dr Zambry turut menggariskan ciri-ciri guru yang baik dan berkualiti seperti mengajar dengan penuh keyakinan, sentiasa mempunyai nilai motivasi diri dan murid-murid, serta bersedia mengambil risiko untuk menerima pembaharuan.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk membantu menjayakan agenda pendidikan negara demi melahirkan modal insan yang hebat.

Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan negeri bersedia untuk mendengar teguran yang membina demi memperbaiki perkhidmatan kepada rakyat.

Di majlis itu, Dr Zambry menyampaikan sijil penghargaan kepada sekolah, warga pendidik dan pelajar yang memperolehi kejayaan.

Beliau turut meluluskan sumbangan RM230,000 kepada kelab-kelab guru di Parlimen Tanjung Malim yang terdiri daripada 73 buah sekolah dengan bilangan 2,254 guru dan 19,910 orang murid.