IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berharap garapan didikan Ramadan dan kemeriahan Aidilfitri akan merealisasikan harapan agar negara terus mengecapi kemakmuran dan rakyatnya yang berbilang kaum akan terus bersatu padu dan saling memahami.

 

Beliau berkata, nilai-nilai sedemikianlah yang menjadi pemangkin kepada kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh rakyat dan Negeri Perak khususnya.

 

Katanya, ia terbukti apabila di sebalik ketidaktentuan persekitaran ekonomi yang mencabar dan penuh rintangan kini, Perak berjaya merekodkan kutipan hasil melebihi RM1 bilion pada tahun 2016 dan mengekalkan prestasi lebihan bajet bagi tempoh tujuh tahun berturut-turut.

 

“…(Kita mengekalkan prestasi) pengurusan kewangan terbaik, selain 15 agensi dan jabatan mendapat pengiktirafan lima bintang Indeks Akauntabiliti.

 

“Alhamdulillah, Negeri Perak disenaraikan sebagai 10 destinasi utama yang perlu dilawati tahun ini oleh Lonely Planet,” katanya dalam perutusan khas Aidilfitri yang disiarkan melalui saluran radio PerakFM.

 

Menurut beliau, semua kejayaan itu bukan sahaja terhasil kerana pemantapan urus tadbir yang semakin baik, tetapi juga hasil dukungan rakyat yang sering bersama-sama kerajaan negeri dalam menggembleng usaha-usaha memakmurkan negeri tercinta ini.

 

Menyentuh sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun ini, Dr. Zambry berkata, umat Islam di negara ini patut bersyukur kerana dapat merayakan 1 Syawal dengan gembira berkat nikmat keamanan dan keharmonian yang dikecapi sekian lama.

 

“Tatkala ada negara-negara lain sedang bergelut dengan pelbagai cabaran, ancaman dan musibah yang tidak terjangka, kita di Malaysia tetap meraikan Syawal dengan gembira,” ujarnya.

 

Beliau mengingatkan rakyat Perak, dalam meraikan kemeriahan Syawal kali ini, jangan pula dilupakan mereka yang dilanda musibah dan kesusahan yang dihadapi golongan kurang bernasib baik.

 

Katanya, ingatan dan penghargaan juga dipanjangkan kepada anggota keselamatan yang bertugas sepanjang Aidilfitri sedangkan orang lain berhari raya bersama keluarga.

 

Beliau mengajak umat Islam meneruskan tradisi ziarah-menziarahi sanak dan saudara di samping mengundang rakan-rakan berbilang bangsa dan agama untuk menyemarakkan amalan kunjung mengunjungi, bermaaf-maafan serta menjamu selera.

 

“Seiring kemeriahan lebaran kali ini, sama-samalah kita mengukuhkan wasilah siraturrahim sesama kita. Semoga Perak terus dilimpahi dengan nikmat kemakmuran dengan pemimpin dan rakyatnya sentiasa menyemai nilai-nilai tanggungjwab, kebersamaan dan saling sayang menyayangi,” ujar beliau.