IPOH – Kesibukan berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-14 kadangkala menuntut Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berada di tiga daerah berbeza dalam sehari, namun begitu kesibukkannya bukanlah alasan untuk tidak bersama-sama masyarakat Sikh memeriahkan sambutan Hari Vasakhi.

Mengakui jadual hariannya padat dengan program berkempen, disusuli dengan tugas hakiki sebagai berkempen untuk kawasan Parlimen Lumut dan Dewan selain DUN Pangkor, Dr. Zambry berkata ia tidak membataskan dirinya untuk memenuhi undangan tersebut.

“Walaupun kebelakangan ini saya terlalu sibuk menghadapi PRU14, di awal pagi program di kawasan (Lumut dan Pangkor), selain itu perlu pusing ke daerah lain di Perak bagi melihat perjalanan kempen Barisan Nasional (BN),” kata Pengerusi BN Negeri Perak.

“Tetapi kehadiran saya di sini malam ini tidak lain dan tidak bukan, untuk menzahirkan penghargaan kepada anda semua yang merupakan sebahagian daripada masyarakat berbilang kaum khususnya di Perak,” katanya.

Dr. Zambry berkata demikian di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang terdiri dari masyarakat Sikh di Majlis Makan Malam Sambutan Hari Vasakhi Tahun 2018 Peringkat Negeri Perak di Dewan St John Ambulance, di sini pada malam Ahad.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras Unit Hal Ehwal Bukan Islam negeri Perak, Keshvinder Singh, Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Insan Sikh Perak (PPIS), Datuk Dr. Jasvinder Singh serta Datin Seri Saripah Zulkifli.

Sementara itu, Keshvinder ketika ditemui berkata,perayaan Hari Vasakhi yang disambut 14 April setiap tahun, turut diraikan secara tradisi rumah terbuka di peringkat negeri Perak.

Secara umumnya, Vasakhi dirayakan selama tiga hari berturut-turut menjelang 14 April dengan upacara sembahyang, nyanyian, tarian, pertandingan rambut terpanjang serta memakai serban.

“Sokongan daripada Kerajaan Negeri sangat kami hargai, walaupun sebagai masyarakat minoriti di negeri ini, Dr. Zambry tetap berikan layanan terbaik buat kami.

“Setiap tahun kerajaan negeri sediakan peruntukan khas termasuk kepada sekolah-sekolah Punjabi di Perak yang merangkumi 13 pusat,”ujarnya.

Dalam pada itu, salah seorang hadirin, Jasbir Singh, 43, dari Kampung Sikh Settlement, Tanjung Tualang berkata,situasi terkini perkampungan masyarakat Sikh di Perak semakin mendapat tumpuan pelancong.

“Saya generasi kedua yang tinggal di kampung Sikh Settlement, ibu bapa saya dahulunya dari India, waktu itu ada aktiviti kapal korek tapi sekarang lebih kepada bela lembu dan kerbau.

“Kemudahan infrastruktur di kampung itu lebih baik dan diperbaiki dari masa ke semasa, masih ramai yang ingin tahu secara lebih dekat bagaimana ciri-ciri perkampungan yang terdiri daripada kaum Sikh,”katanya.

BERITA BERKENAAN : Ceramah Muhyiddin Tidak Mendapat Sambutan

1/11