Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seringkali kita mentertawakan mereka yang dilihat tidak siuman dan mencemuh tingkahlaku mereka yang merayau-rayau tanpa tujuan di bandar-bandar, namun tanpa disedari, ianya boleh terjadi kepada rakan, anak-anak atau diri kita sendiri.

Kemurungan, keresahan dan penyakit mental merupakan satu realiti yang kini kian memakan diri rakyat Malaysia, malangnya ramai masih memandang ringan malah mengaggapnya sebagai satu bahan jenaka.

Amat memeranjatkan apabila laporan terkini Jabatan Kesihatan Malaysia menyebut, pada September lalu, Negeri Perak pernah mencatatkan kedudukan ketiga tertinggi melibatkan kematian akibat bunuh diri yang direkodkan di negara ini.

Apa yang lebih mengejutkan, jumlah itu melibatkan 47 kematian daripada lebih dua juta penduduk Perak iaitu 1.94 daripada 100,000 orang mengikut data Pusat Registri Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (National Suicide Registry Malaysia – NSRM).

Ketika mendedahkan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, trend penyakit mental pelbagai jenis telah meningkat dengan drastik sejak 1996 di seluruh negara.

“Apa yang membimbangkan adalah pada hari ini, sebanyak 29.3 peratus daripada masyarakat di seluruh dunia yang berumur 16 tahun ke atas, khususnya golongan pekerja, menunjukkan simptom masalah pengurusan mental dan ini sebenarnya satu angka yang amat besar.

“Kemurungan pula memberi kesan negatif kepada 4.4 peratus daripada populasi dunia iaitu sebanyak 300 juta orang, manakala keresahan pula membabitkan 264 juta orang atau 3.6 peratus di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar 5th Mental Health Ipoh di Hotel Kinta Riverfront Ipoh di sini, hari ini.

Dr Mah berkata, antara faktor yang mendorong kepada kegagalan mengurus masalah mental itu berpunca daripada tekanan (stress), kadar penggangguran kerja, buli dan keganasan rumah tangga serta waktu kerja yang panjang.

Katanya, masyarakat perlu memandang serius perkara tersebut kerana tahap kemurungan yang dinilai berdasarkan pengiraan Years Live with Disability (YLDs) yang didapati telah meningkat sehingga 50 juta tahun di seluruh dunia.

Tegasnya, masyarakat boleh menuding jari dan menyalahkan pihak tertentu atau mengambil pendekatan untuk mula memupuk kesedaran mengenai risiko dan bahaya penyakit mental itu.

“Kesihatan mental merupakan sesuatu yang amat penting. Malah, Hari Kesihatan Sedunia pada 7 April memfokuskan kepada pengurusan mental yang baik dan cara-cara mengelakkan serta mengenal pasti kemurungan di kalangan kawan-kawan, ahli keluarga dan diri sendiri.

“Kita boleh bercakap mengenai statistik yang menunjukkan pengurusan mental kita semakin merudum. Makin ramai dilanda kemurungan setiap hari di seluruh dunia, tetapi yang paling penting ialah kerjasama semua pihak dalam menguruskannya.

“Bagi mereka yang mengalami keresahan dan kemurungan, mereka melihat ia sebagai satu kegagalan personaliti dan karakter mereka, sehinggakan ada yang lewat mendapatkan rawatan. Ramai juga menafikannya dan inilah yang menjadi stigma tanpa sebarang penyelesaian,” katanya lagi.

Dr Mah berkata, kini pengurusan mental yang baik perlu dipraktiskan bukan sahaja di kalangan pengamal perubatan tetapi oleh guru kaunseling, guru tadika dan masyarakat awam.

“Kita mempunyai keupayaan untuk mengelakkan tragedi seperti kes bunuh diri disebabkan kemurungan dan Schizophrenia berlaku di Malaysia. Kita perlu tahu caranya dan membantu masyarakat setempat,” ujarnya.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas atau 29.2 peratus populasi negara, menghidapi pelbagai masalah mental sekaligus memperlihatkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus dalam tempoh 10 tahun.