IPOH– “Saya telah menarik balik usul (ICERD) berkenaan, bunyinya seperti Speaker (Ngeh Koo Ham) menolak usul saya, tetapi itu adalah kesilapan teknikal di mana ianya tidak dipanjangkan kepada Speaker,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya lagi, beliau telah menghantar surat penarikan usul berkenaan sebelum berlangsung Persidangan Dewan Undangan Negeri kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

“Saya telah pun keluarkan kenyataan bahawa kerajaan negeri membuat keputusan untuk menolak ICERD, sepertimana yang dikatakan oleh Perdana Menteri, walaupun sebelum itu saya membuat usul untuk dibahaskan dalam dewan bagi menolak ICERD.

“Bila Perdana Menteri sudah keluarkan kenyataan demikian, kerajaan negeri pun ikut jadi tidak perlu lagi bahaskan dalam Dewan.

“Saya dah tarik balik dan semalam ada kesilapan teknikal, ianya tidak dipanjangkan kepada Speaker bahawa saya sudah menarik balik usul berkenaan.

“Saya nak jelaskan yang Speaker tak tolak usul saya sebenarnya,saya rasa perkara ini boleh dirujuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan MMK yang telah terima surat penarikan usul berkenaan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan negeri di Dewan Bankuet, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kompleks KDN, Meru Raya, di sini pada Khamis.

Semalam, media melaporkan Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menolak usul Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) untuk dibahaskan pada Sidang DUN Perak.

Beliau berkata, usul tersebut dibawa oleh Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN-Changkat Jering) dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderiang).

Bagaimanapun, beliau berkata usul yang dikemukakan Ahmad Faizal itu ditarik balik selepas ia dikemukakan.