KOTA BHARU: Kesungguhan setiap pemain menjadi punca Kelantan menang 3-2 ke atas Perak untuk tiga mata pertama mereka di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, berkata itu dianggap perkembangan positif selepas gagal mencatat kemenangan.

Katanya, corak permainan ditunjukkan pemain perlu dikekalkan untuk perlawanan seterusnya.

“Malam ini (tadi) pemain bekerja keras sehingga kami mampu bangkit walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama,” katanya.

Dalam perlawanan itu, penyerang import Korea Selatan, Do Dong Hyun, muncul wira apabila meledakkan hatrik dalam babak kedua.

“Selain Dong, saya juga mahu memuji Badhri Radzi dan Mohammad Ghaddar kerana kehadiran mereka banyak mengubah corak permainan pasukan berbanding sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pengendali Perak, Mehmet Durokovic, menyifatkan mereka tidak bernasib baik kerana anak buahnya sudah memberi tentangan sengit.

Namun begitu, pengendali berusia 52 tahun itu tidak menafikan rentak permainan Kelantan yang dilihat serba menjadi menyebabkan pasukannya gagal membawa pulang sebarang mata.

“Kami sudah memberi tentangan sengit namun terpaksa akur dengan kekalahan ini biarpun kami menyasarkan tiga mata,” katanya – berita harian