Oleh: Aida Aziz suaraperakeditorial@gmail.com

KENIKMATAN merasai hidangan ketam sedikit terbantut sekiranya terpaksa berhempas pulas mengupas cengkerang bagi mendapatkan isi yang putih kemerahan di dalamnya. Jika tidak kena pada cara, barangkali jari akan terluka disebabkan kulit ketam yang agak tajam, inilah antara punca ramai yang ragu-ragu menjadikan ketam dalam senarai utama pilihan di restoran makanan laut.

Kuala Gula sememangnya sering disebut-sebut sebagai destinasi utama bagi penggemar ketam lembut, iaitu ketam yang bersalin kulit dan belum sempat untuknya mengeras.

Ketam lembut yang sudah melalui proses penyalinan
cengkerang hampir sebulan.

 

 

Tercipta Inovasi Ketam Lembut Kuala Gula

Keunikan pada ketam lembut ialah keseluruhannya boleh dimakan tanpa perlu dikupas, semestinya memberikan lebih kepuasan dari segi kuantiti isi selain sesuai dijadikan menu ketam goreng tepung. Ada kisah di sebalik ketam lembut yang tular diperkatakan lebih 10 tahun lalu.

 

Menurut seorang daripada pengusaha ketam lembut di Kuala Gula, Helmi Sham, lambakan hasil ketam menjadi penyebab utama kepada terciptanya inovasi penghasilan ketam lembut. Pada waktu itu, katanya, nelayan mendapat hasil tangkapan ketam nipah yang terlalu banyak sehinggakan tidak laku di pasaran. Mereka terpaksa memikirkan alternatif lain untuk mendapatkan keuntungan, dan dengan itu maka mencipta inovasi ketam lembut.

Bagaimanapun, kata Helmi, keadaan sekarang jauh berbeza kerana hasil ketam semakin berkurangan disebabkan banyak faktor, seperti aktiviti manusia serta permintaan yang tinggi dari orang ramai. “Malah Kuala Gula juga perintis kepada kewujudan ketam jenis ini, ada yang datang dari negeri lain untuk belajar bagaimana untuk menjadikan ia lembut tanpa guna sebarang bahan kimia,” katanya kepada Suara Perak.

Ketam yang dikumpul di dalam sangkar untuk dijadikan
ketam lembut

Proses Salin Baju Untuk Lembut

Soalan yang sering ditanyakan kepada pengusaha ketam lembut tentunya berkaitan harga yang dikatakan mahal, yang dikatakan boleh mencecah puluhan ringgit sekilogram, mengikut saiz. Menurut Helmi, ketam itu tidak boleh didapati secara semulajadi kerana ia perlu menjalani proses rumit, yang memakan masa sehingga kira-kira sebulan.

 

 

“Kami akan dapatkan ketam dari nelayan di sini, kumpulkan dan proses memotong kaki-kaki ketam bermula, hanya dua kaki dibiarkan untuk membolehkan ia mencari makanan dalam sangkar. “Walaupun pada pandangan mata kasar nampak menyakitkan, tapi cara potongan yang betul dengan menggunakan ‘playar’ tidak akan menyebabkan ia menderita kesakitan.

“Kalau salah potongan dari tempat kaki ini dipotong, ketam akan sakit dan mengeluarkan lendir kemudian mati, sebab itu proses ini dilakukan dengan berhatihati supaya ia boleh salin baju (bersalin kulit) dengan sempurna,” jelasnya. Ketam yang sudah dibuang kakinya akan dibiarkan selama sebulan untuk bersalin kulit, ini bermakna semua bahagian cengkerang termasuk mata ketam akan menjalani proses pertumbuhan semula. “Apabila genap sebulan, ketam ini sedia untuk bersalin kulit, keadaan kulit sangat lembut dan sedia untuk dijual, jika dibiarkan ia akan mengeras seperti sedia kala,” katanya.

Permintaan Tinggi Dari Pelanggan

Menurut Helmi yang berpengalaman luas dalam aktiviti nelayan, ketam lembut sentiasa menjadi buruan penggemar makanan laut sehinggakan ada yang datang jauh dari luar negeri Perak. “Memang negeri atau tempat lain ada ketam lembut ini tetapi Kuala Gula sudah sinonim dengan menu ini, biasanya Kuala Gula akan dipenuhi dengan pelancong di musim cuti sekolah, ramai yang datang dengan keluarga untuk nikmati keunikan di sini.

“Mereka akan datang ke restoran terapung berdekatan sungai, di samping melihat sendiri proses penghasilan ketam lembut. “Sememangnya cara kami berbeza dengan teknik yang dilakukan di Thailand kerana di negara Gajah Puteh itu mengguna ubat, sebab itu dalam masa beberapa jam saja boleh lembut,” dakwanya.

Ketam Lembut Mujarab Sembuhkan Penyakit?

Helmi mendakwa, ada pelanggan yang lumpuh sebelah tangan datang ke Kuala Gula dan makan ketam lembut yang mentah, tujuannya untuk sembuhkan lumpuh. “Selepas diulang makan sebanyak tiga kali, Alhamdulillah, tangannya sudah sembuh.

“Tidak pasti sama ada ia ada kaitan dengan mengamalkan makan ketam lembut dari sudut saintifik, namun jika dilihat proses ketam itu sendiri unik dengan berupaya menghasilkan cengkerang dan kaki baru,” katanya.