Oleh:Nazialita Geynna Maharan

PENGKALAN HULU: Ketangkasan dan kecekapan anggota Bomba dan Penyelamat Pengkalan Hulu berjaya mengawal api kebakaran daripada merebak ke 200 buah pondok penginapan Pondok Pak Teh di sini, semalam.

Dalam kejadian sekitar 11.20 malam itu, sebanyak 18 buah pondok penginapan pusat pengajian agama terkemuka itu musnah terbakar dalam sebuah insiden di Kg Kuak Luar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahaya Madis berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kebakaran di pondok berusia setengah abad itu sekitar 11.27 malam dan bergegas ke lokasi.

“Setibanya di sana, pihak BBP Pengkalan Hulu dengan bantuan BBP Baling telah menggunakan dua pili bomba yang berada berhampiran dengan pusat pengajian itu dan segera memadamkan kebakaran.

“Mujur, kesemua mereka ini telah dilatih apatah lagi dengan skuad bomba pondok yang telah ditubuhkan sebelum ini membuatkan mereka siapsiaga menghadapi situasi seperti ini,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Menurut beliau, pemerhatian awal pihak JBPM negeri bersama dengan ADUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim mendapati antara punca kebakaran merebak dengan pantas adalah berikutan pondok itu diperbuat daripada kayu.

9bd05276-46e3-4eff-8224-123718177aac“Kita kena fahami bahawa pondok-pondok tersebut diperbuat daripada kayu dan api merebak dengan pantas dan jarak di antara setiap buah pondok adalah kurang daripada lima kaki.

“Mujur, tindakan pantas anggota bomba memadam kebakaran dapat mengawal api marak itu daripada memusnahkan selebih 182 pondok pengajian agama yang lain,” katanya lagi.

Yahaya berkata, pihaknya memuji tindakan pantas penduduk di sekitar kampung yang bertindak tangkas memadam kebakaran dengan menggunakan baldi air di pondok tradisional sebelum ketibaan bomba.

Ditanya berkenaan dengan ciri-ciri keselamatan, Yahaya berkata sebuah skuad bomba sedia ada sentiasa bersiap siaga untuk berhadapan dengan situasi berkenaan.

“Tiada mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan dan kesemua 66 pelajar juga selamat walaupun terdapat beberapa kanak-kanak yang balik awal daripada cuti raya.

“Punca kebakaran masih lagi dikenalpasti kerana tiada kemungkinan litar pintas berikutan sekolah itu tidak menggunakan elektrik.

“Sebelum ini, terdapat sebuah kebakaran kecil namun ini adalah insiden terbesar pernah dialami oleh Pondok Pak Teh sejak pembinaannya pada tahun 1967,” katanya lagi.