KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, keruntuhan sesebuah negara berpunca daripada kelalaian pemerintah menunaikan keperluan rakyat, selain kelemahan pemerintah mencegah kemungkaran.

Titah baginda, Islam menegaskan pemerintahan wajib bersandarkan kepada undang-undang dan pemimpin tidak memiliki sebarang keistimewaan mahupun kekebalan untuk hidup melangkaui undang-undang.

“Barang dijauhi diri Beta daripada bersifat khayal kerana ditenggelami kata-kata pujian, lalu mendorong Beta teralpa dalam mimpi indah, hingga tergelincir daripada landasan kebenaran, serta tersimpang jauh daripada realiti.

“Semoga Beta senantiasa diperingatkan dengan kisah yang berlaku antara Imam Abu Hanifah Rahimahullah, ketika menasihatkan seorang anak kecil yang mengenakan terompah kayu, agar berhati-hati supaya tidak tergelincir; lalu si anak menjawab secara bersahaja, agar Imam Abu Hanifah Rahimahullah seharusnya lebih berhati-hati, dengan gelaran Al-Imam-A’zhom, atau imam yang agung.

“Kerana terompah kayu akan hanya menggelincirkannya di dunia, tetapi keangkuhan disebabkan gelaran, memungkinkan seseorang itu terjerumus ke dalam api neraka,” titah baginda pada Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Anugerah Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Turut mengiringi keberangkatan baginda, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Sultan Nazrin bertitah, hasrat kepada sistem pemerintahan yang adil dan saksama telah mendorong tertubuhnya pelbagai gerakan berunsur militan di serata dunia dengan matlamat bagi menubuhkan Daulah Islamiah atau negara Islam.

“Negara Islam tidak akan terbentuk melalui kegiatan militan yang melakukan pelbagai kekejaman, mengebom, membunuh, menculik dan mencederakan insan-insan yang tidak berdosa.
“Ia juga tidak terbentuk dengan melabelkan perkataan Islam kepada nama sesebuah negara.

“Negara Islam akan dapat terjelma apabila negara diurus tadbir oleh pemerintah yang berupaya melakukan amal makruf dan bersungguh-sungguh mencegah kemungkaran,” titah baginda.

Titah baginda lagi, setelah 60 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, adalah penting untuk generasi pada hari ini, memahami sejarah penubuhan negara ini agar bahtera merdeka ini terus dilayari berpandukan kompas yang betul.

“Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam menerima tanggungjawab memimpin ummah dalam persekitaran umat manusia yang berpuak, bersuku-suku dan berkafilah.

“Tidak ada elemen penyatuan, tidak ada perlembagaan bertulis untuk dijadikan rujukan sebelum tergubalnya Perlembagaan Madinah, namun melalui hikmah kebijaksanaan Baginda, umat manusia telah dapat didamaikan untuk hidup secara rukun hingga ke tahap berjaya disatukan,” titah Sultan Nazrin.

Dalam titah baginda, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar serta individu dan jabatan yang sama-sama terlibat dalam menyempurnakan amanah mentadbir negeri ini agar terus dapat dibangunkan dalam suasana aman.