SIK: Pemimpin Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya mengenepikan konflik dalaman bagi mengelak parti menerima tempias sehingga menjejaskan peluang untuk terus memikul mandat rakyat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana rakyat tidak mahu pemimpin yang sibuk bertelagah sesama mereka sedangkan peranan yang perlu diutamakan adalah menjaga kebajikan rakyat.

Mengambil contoh di Kedah, Ahmad Zahid mengingatkan UMNO dan BN negeri supaya mengimbau kembali kenangan pahit parti kehilangan kuasa kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

“Pengundi dan rakyat nak pembangunan dan kemajuan, jadi pemimpin kena pakat elok-elok… kena fokus kepada berkhidmat di kerusi Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri) dan jangan terganggu dengan pemilihan (parti)… pastikan kita menang PRU dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bersama Warga Pendidik dan Rakyat Parlimen Sik, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta tiga penyandang yang akan mempertahankan kerusi masing-masing, iaitu Dr Mansor Abdul Rahman (Parlimen Sik), Datuk Ahmad Tajuddin Abdullah (DUN Belantek) dan Mahadzir Abdul Hamid (DUN Jeneri).

Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin BN supaya mengutamakan usaha mempertahankan penguasaan di Kedah bagi memastikan pembangunan dan perancangan dirancang dapat dilaksanakan.

Beliau mengakui ada usaha pihak tertentu yang dilabel sebagai ‘desperado’ atau golongan terdesak untuk mencantas penguasaan BN bukan saja di Kedah, tetapi juga di peringkat Pusat.

“Pokok tak goyang, angin ribut pun tak ada… jadi buat apa nak ditebang pokok yang sudah terbukti rendang… tetapi kena ingat bagi baja lebih pun boleh buat pokok tu mati,” katanya.

Mengulas golongan ‘desperado’ itu, beliau berkata mereka membuat pelbagai cara untuk menarik simpati, pengaruh dan sokongan ketika kempen PRU-14.

“Cukuplah budaya kebencian ditanam dalam kalangan rakyat dan cukuplah rasa marah diterjemah semangat untuk dapat kuasa… mereka (pakatan pembangkang) memperlihatkan seolah-olah paling ikhlas, jujur dan perjuangkan nasib rakyat, tetapi nawaitu (niat) sebenar kerusi Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri).

“Mereka hanya datang lima tahun sekali ketika musim menuai (pilihan raya umum)… ada calon nomad, buat ‘najis’ kemudian pindah ke tempat lain… orang lain pula yang cuci… cukuplah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan parti yang sanggup mengorbankan lambang sendiri untuk bertanding atas lambang parti lain, demi meraih sokongan pengundi Melayu.

“Dulu mereka guna lambang masing-masing, tetapi sekarang guna lambang parti lain… tujuannya nak tarik sokongan Melayu… saya tak mahu cakap parti apa, tetapi tuan-tuan semua tahu,” katanya.

Mengenai Parlimen Sik, Ahmad Zahid kagum dengan perkembangannya yang disifatkan lebih maju berbanding kawasan beliau sendiri iaitu Bagan Datuk di Perak.

Parlimen Sik menerima peruntukan kira-kira RM500 juta sepanjang tempoh lima tahun sejak PRU-13 yang dimanfaatkan untuk pelbagai projek pembangunan dan membantu rakyat – berita harian

 

BERITA BERKENAAN : Saya Akan Bantu Penduduk Parit Buntar- Puhat