Oleh: Abd Razak Mohd Ali
IPOH: Pendakwah tidak perlu meminggirkan individu atau kumpulan tertentu hanya kerana berlaku perselisihan faham.
Penerima anugerah pendakwah sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak 2017, Muhd Nassir Thanabalan Abdullah, 48, sebaliknya berkata, mereka perlu terus didekati.
Menurut beliau, perselisihan faham dan kekhilafan adalah sesuatu yang biasa, yang perlu dilalui di dalam kehidupan seharian.
“Terus perkenalkan Islam kepada ramai orang dengan mendekati mereka, ketepikan perselisihan pandangan dan pendapat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, hari ini.
IMG-20171201-WA0038Muhd Nassir memberitahu, beliau memeluk Islam pada tahun 1989 walaupun mendapat tentangan daripada kedua ibu bapanya.
Bagaimanapun, katanya, selepas dia dan isteri, Faizah Jon mendapat seorang anak, barulah ayah dan ibunya mula menerima mereka semula.
Walaupun berlainan fahaman agama, dia tetap memelihara ibunya, yang akhirnya memeluk Islam pada tahun 2008.
Malangnya, usaha mendakwah ayahnya masih tidak berjaya sehinggalah orang tuanya itu dimasukkan ke hospital kerana serangan athma pada 2013.
Menurut Muhd Nassir, ketika di hospital, beliau memberitahu ayahnya bahawa hubungan mereka akan terputus kecuali jika dia percayakan Allah dan Nabi Muhammad.
“Tiga kali saya dan isteri cuba, dia hanya menganggukkan kepala kerana tidak boleh bercakap akibat athma,” ujarnya sambil berharap ayahnya dapat diterima oleh Allah.
IMG-20171201-WA0037Sementara itu, penerima anugerah imam, Bahari Ahmad berharap, anak-anak muda akan mengimarakkan masjid dan mengikuti kelas-kelas ilmu yang diadakan.
“Mereka juga perlu bersama-sama menjaga kebersihan rumah Allah,” kata imam Kampung Temelong, Lenggong itu yang juga Penyelia Bina Insan Kemas.