IPOH – Setiausaha Kerajaan Negeri (SS) yang baharu, Datuk Mohd Ghazali Jalal menasihati kakitangan awam negeri itu untuk terus memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri dan mengenepikan soal politik.

Beliau berkata, sebagai kakitangan kerajaan, mereka seharusnya kekal setia kepada kerajaan negeri yang memerintah tanpa memikirkan soal politik demi memastikan perkhidmatan terbaik terus dapat diberikan kepada rakyat.

“Kita sepatutnya patuh kepada government of the day, tidak timbul masalah antara penjawat awam atau politik cumanya kita hendak semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya.

Datuk Mohd Ghazali Jalal

“Kerana diakhirnya kita semua mahukan keputusan yang baik di mana kita dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Tambah beliau, sudah tiba masanya ahli-ahli politik, para penjawat awam termasuk di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menumpukan kepada soal memberikan perkhidmatan cemerlang selaras dengan objektif ditetapkan.

“Saya harap semuanya dapat bersama-sama saya membantu kerajaan negeri untuk Perak terus maju ke hadapan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengumumkan Mohd Ghazali dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu.

Ahmad Faizal berkata, lantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Dalam pengumuman sama juga, Datuk Abu Bakar Said yang merupakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) diangkat menjadi Pegawai Kewangan Negeri Perak yang baharu.

“Lantikan ini dibuat atas dasar keyakinan saya terhadap mereka berdua, nasihat-nasihat yang diberikan oleh mereka sejak saya menjadi Menteri Besar diyakini boleh membawa Perak lebih maju di masa hadapan,” ujarnya Ahmad Faizal selepas pengumuman itu.