PENGKALAN HULU : Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perak merampas 200 anak pokok pelbagai jenis yang cuba dibawa masuk dari Thailand tanpa permit import yang sah.

Rampasan itu dibuat di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini ketika MAQIS menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan awam yang memasuki negara ini.

Pengarah MAQIS Perak, Rozita Superman berkata, kebanyakan penumpang cuba membawa masuk anak-anak pokok dari Thailand semasa cuti sekolah dan Krismas.

Menurutnya, tahap kesedaran yang masih rendah di kalangan penumpang-penumpang awam menyebabkan cubaan membawa masuk itu berlaku.

“Antara anak pokok yang ditahan adalah durian, kelapa, nenas, tebu, buluh, ubi, bunga hiasan dan pelbagai benih sayur-sayuran.

“Selain itu, beberapa barangan lain yang turut ditahan adalah produk hasilan haiwan iaitu sosej sebanyak 50kg dan dianggarkan keseluruhan barangan bernilai lebih daripada RM1,500,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Rozita berkata, kesemua barangan yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan peraturan – peraturan yang berkaitan.

Beliau menjelaskan, setiap keluaran pertanian yang diimport perlu mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan bagi mengawal kemasukan penyakit tumbuhan dan menjamin keselamatan makanan agar sentiasa bersih dan selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.

Menurut beliau lagi, aktiviti mengimport keluaran pertanian tanpa Permit Import merupakan kesalahan Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali”, ujarnya.

Katanya, pihak MAQIS akan mengambil tindakan tegas bagi mana-mana orang terlibat dalam mengimport atau membawa keluaran pertanian tanpa permit import yang sah dan juga tidak mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.