JOHOR BAHRU: Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Norul Haszarul Abu Samah, digantung daripada tugasnya kerana menyokong keputusan kerajaan negeri berhubung kontroversi had umur belia.

Norul Haszarul yang berkongsi gambar surat penggantungan dikeluarkan ARMADA Nasional dalam laman Facebok, berkata beliau turut digantung daripada jawatan Ketua ARMADA Labis.

“Hari ini saya menerima surat penggantungan jawatan sebagai Ketua ARMADA Johor dan Ketua ARMADA Labis berikutan kenyataan saya pada 12 Julai lalu yang menyokong keputusan kerajaan Johor berhubung had usia belia.

“Parti yang saya sertai sejak awal penubuhan kini seolah-olah menutup pintu kepada perbezaan pendapat serta tidak lagi terbuka dan peka terhadap pandangan rakyat,” katanya dalam status yang dimuat naik bersama gambar surat berkenaan.

Baru-baru ini, Norul Haszarul mengeluarkan kenyataan menyokong keputusan kerajaan Johor mengekalkan had umur maksimum belia kepada 40 tahun.

Antara lain, beliau dilaporkan berkata rakyat Johor mempunyai cara tersendiri menentukan hala tuju dan tidak perlu mengikut budaya serta kaedah pihak lain.

Beliau juga mengingatkan pihak yang membentangkan cadangan pindaan umur itu di Parlimen supaya sedar mengenai kesilapan berkenaan.

Pada 1 Julai lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk mendefinisikan semula istilah ‘belia’ sebagai golongan berumur bawah 30 tahun menerusi RUU Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat dan semalam, diluluskan oleh Dewan Negara.