IPOH 24 Julai – Ketua Cabang PKR Pasir Salak, Noor Azwan Ali akur terhadap keputusan parti yang memecatnya kerana melanggar tatatertib dan disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Begitupun Noor Azwan mengakui kurang setuju terhadap hukuman tersebut kerana beliau tidak diberikan peluang untuk membela diri kerana menegur pemimpinan parti dalam soal pemilihan calon pada PRU-14.

Menurutnya, sebagai Ketua Cabang, beliau berbuat demikian kerana membawa suara akar umbi kerana parti meletakkan calon yang tidak pernah menabur khidmat bakti di sesuatu kawasan semasa kempen PRU-14.

“Saya akur jika itu keputusan parti cuma saya kurang setuju kerana terus dipecat tanpa dibicarakan, berbincang atau mengkaji kenyataan saya terlebih dahulu.

“Saya masih setia dengan parti dan sudah mengemukakan rayuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

PKR memecat Noor Azwan kerana melanggar tatatertib dan disiplin parti semasa PRU-14 selain mengambil tindakan menggantung keanggotaan enam lagi, sementara seorang diberi amaran keras atas kesalahan sama.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Biro Politik pada 10 Julai lalu yang dipengerusikan Presiden , Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dihadiri anggota Biro Politik yang lain. – UTUSAN ONLINE