IPOH – Ceramah Harapan yang dihadiri Presiden Amanah, Mohamad Sabu mencuri tumpuan apabila beberapa ahli MIC menyerahkan borang menyertai Amanah.

Penyerahan borang dibuat sendiri Ketua MIC Cawangan Sungai Rapat, M Muneswari di hadapan ratusan penyokong Harapan, hari ini.

Muneswari yang ditemui Sinar Harian selepas penyerahan borang itu berkata, tindakan itu dibuat selepas kecewa dengan parti yang tidak menghargai sumbangannya selama ini.

Menurutnya, pemilihan Amanah sebagai parti baharu kerana melihat gerak kerja parti yang lebih baik.

“Bukan saya seorang tapi saya ajak lagi 200 orang sertai saya sebab saya kecewa dengan MIC.

“Saya dah bantu macam-macam untuk parti tapi langsung tak dihargai. Malam ini secara rasmi saya umum keluar parti,” katanya.

Hadir sama dalam ceramah itu, Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga calon PKR Dun Sungai Rapat.

Menurut Muneswari, beliau sudah pun menyerahkan surat perletakkan jawatan dan keluar parti kepada pimpinan MIC tetapi tidak ramai yang mengetahui tindakan itu.

Katanya, selepas ini dia bersama bekas ahli MIC akan membantu memenangkan calon PKR pada PRU14 – sinar

BERITA BERKENAANApa Ahli Parlimen Sungai Siput buat 10 tahun? – PM Najib