Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KAMPAR: Polis menembak mati seorang lelaki yang merupakan ketua samun jentera berat Perak dalam satu kejadian berbalas tembakan di Jalan Ayer Kuning-Teluk Intan pada petang Rabu.

Mangsa berusia sekitar 40-an, yang dipercayai mendalangi beberapa kes samun jentera berat di negeri ini selain merupakan penjenayah dikehendaki dan ahli kongsi gelap Geng 04.

Dalam kejadian sekitar 3.30 tiga petang itu, sekumpulan polis dari pasukan khas IPK Perak sedang melakukan pemantauan sebelum terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Honda City yang mencurigakan.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, semakan lanjut mendapati nombor plat kenderaan tidak menepati spesifikasi sebelum mengarahkan kenderaan tersebut berhenti.

“Pemandu berkenaan kemudian terus memecut laju dan berlaku kejar-mengejar, potong-memotong sejauh empat kilometer dan pihak polis akhirnya berjaya memotong kenderaan dan menyebabkan kenderaan itu terbabas.

“Sebaik sahaja keluar dari kenderaan, pemandu terus bertindak menembak ke arah polis sebanyak tiga das sebelum polis melepaskan dua das tembakan ke dada pemandu berkenaan menyebabkannya rebah ke tanah.

“Beberapa minit kemudian, polis menghampiri pemandu itu dan mendapati lelaki itu maut di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di lokasi kejadian di Jalan Ayer Kuning-Teluk Intan pada petang Rabu.

Jelas Hasnan, hasil siasatan menemui sepucuk pistol dan sebutir peluru selain tiga kelongsong di tempat kejadian.

Hasnan berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan mendapati tiga bilah parang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah samun di sekitar negeri Perak.

“Semakan lanjut dilakukan dan polis mengenali si mati yabg mempunyai tujuh rekod jenayah lampau melibatkan empat kes samun, satu kes bunuh, satu curi kenderaan dan dua kali ditahan berikutan kegiatan jenayah dan dipercayai terlibat dengan kes samun jentera berat di Mualim, Ayer Tawar, Manjung dan Tapah.

“Selain itu, kita percaya telah menumpaskan kes samun jentera berat kerana si mati merupakan ketua jenayah ini di Perak, ahli geng 04 dan penjenayah yang amat dikehendaki di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya lagi.

Menurutnya, pihak polis berjaya mengesan suspek melalui pasukan khas Ops Pam yang ditubuhkan oleh IPK Perak bagi mengesan jenayah samun jentera berat di negeri ini serta maklumat risikan.

Ujar beliau, pihak polis masih dalam siasatan untuk mengesan seramai lima hingga enam ahli Geng Pam di negeri ini.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi bedah siasat,” katanya.