IPOH: Seorang ketua kampung mendakwa dua anak lelakinya dikasari oleh anggota polis sehingga menyebabkan kecederaan, ketika mereka ditahan untuk membantu siasatan kes samun di Sungai Siput pada 18 Mei lalu.

R Subramaniam, 58, seorang pesara berkata, pada hari kejadian, dia telah dihubungi oleh kakaknya sekitar 2.45 petang yang memaklumkan bahawa kedua-dua anak lelakinya telah ditahan oleh beberapa individu yang mendakwa mereka polis.

Menurut Subramaniam, setibanya di tempat kejadian, dia hanya terlihat kedua-dua anaknya telah digari dan cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak polis.

“Setelah saya mendesak, barulah mereka memberitahu bahawa mereka dari pasukan IPK Ipoh dan sejurus selepas itu, mereka terus membawa anak-anak saya masuk ke dalam kenderaan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Pejabat DAP Perak, pada Rabu.

Subramaniam berkata, dia pergi ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari berikutnya dan menyedari anaknya serta rakan-rakannya berjalan dalam keadaan terhenjut-henjut sebelum melakukan laporan polis di IPD Sungai Siput.

Sementara itu, anaknya, S Ashoovendran, 25, berkata, pada waktu kejadian mereka sedang meraikan sambutan Hari Ibu di rumahnya sebelum didatangi oleh empat kenderaan persendirian dan sebuah kenderaan jenis Proton Preve milik polis.

Dakwanya, seorang anggota yang berpakaian biasa telah menghampirinya dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis tanpa mengemukakan sebarang kad kuasa atau pengenalan diri.

Ashoovendran mendakwa lelaki tersebut kemudian telah menggarinya dan rakan-rakan lain secara kasar sebelum membawanya ke dalam sebuah kenderaan.

Dakwanya lagi, mereka kemudiannya dibawa ke sebuah lokasi berhampiran Hotel Excelsior di mana adiknya, Prashantran, 22 dan seorang lagi rakan, K. Nurendraj Kumar, 28, warganegara dan anggota penguatkuasaan Singapura telah dipukul hingga menyebabkan kecederaan di bahagian kaki dan lutut.

Selain mereka bertiga, turut didakwa terbabit ialah P Ravikumar, 21, M Saran, 20, G Avinesh, 20 dan N Nayagan, 22 di mana ada di antaranya merupakan graduan dan jurutera marin.

Ashoovendran mendakwa, demi menjaga maruah mereka, dia merayu agar prosedur pengecaman dijalankan segera sebaik sahaja polis menggari mereka di taman perumahan yang disaksikan jiran.

“Pada 19 Mei, pihak polis cuba mendapatkan perintah reman selama tujuh hari namun proses kawad cam membuktikan bahawa keputusan adalah negatif dan kami dibebaskan sehari tanpa sebarang dakwaan, atau tanpa jaminan polis selepas itu,” katanya lagi.

Dakwanya, selain kerosakan kenderaan, dia juga kehilangan pelanggan yang telah membatalkan tempahan untuk pengurusan acara berikutan penangkapan di kediamannya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada Ashoovendran dan siasatan lanjut akan dijalankan.

“Berhubung isu kes dakwaan S Ashoovendran, yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes samun kedai 7 Eleven di Kg Rapat dan dipukul, polis telah membuka kertas siasatan (KEP) untuk menyiasat dakwaan pengadu,” katanya kepada pemberita pada Khamis.